Sunday, May 11, 2008

TREND 'JANTAN TAK BERTULANG' BERULANG

INILAH SENI YANG DIJADIKAN TREND 'JANTAN TAK BERTULANG'. NAMUN,IA HANYALAH LAKONAN SEMATA-MATA UNTUK MENCERITAKAN TENTANG SESUATU PERKARA YANG BERLAKU DI SETIAP TEMPAT. TAHNIAH BUAT AWIE,RUSDI RAMLI DAN JALALUDDIN KERANA MEMBERANIKAN DIRI UNTUK MELAKONKAN PERKARA YANG TIDAK SEMUA ORANG BOLEH BUAT INI.




AWIE

Syarikat produksi cenderung hasilkan karya dunia lelaki lembut

BAGAIKAN sudah menjadi trend sejak akhir-akhir ini aktor gagah perkasa cenderung memeran watak sebagai lelaki lembut. Banyak juga produksi yang cenderung membikin cerita dan persoalan lelaki lembut dalam pelbagai medium seperti drama, filem dan pentas teater.

Seketika dulu, kecoh juga dunia hiburan apabila Ahmad Tarmimi Siregar yang terserlah kejantanannya tiba-tiba saja menjadi lelaki lembut bagi memenuhi watak dalam telefilem Wali arahan Rashid Sibir. Baru-baru ini pula, pelakon macho Datuk Jalaluddin Hassan pula sedia untuk menghilangkan kejantanannya demi teater Patung Kertas.


Begitu juga dengan aktor Rusdi Ramli yang cemerlang diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan baru-baru ini pula dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian kerana menjadi lelaki lembut dalam filem Waris Jari Hantu.

Barangkali, keputusan pelakon yang pernah mencairkan hati bintang jelita Erra Fazira, Awie masuk senarai ‘lelaki lembut’ apabila bersedia untuk memegang watak sebagai Sophie, pereka fesyen berjiwa perempuan dalam filem arahan Saw Teong Hin berjudul Apa Kata Hati.

Filem terbitan Tayangan Unggul itu bakal menemui kaki wayang pada 29 Mei ini. Bayangkan apa hasilnya apabila lelaki berbadan sasa dan berjiwa rock seperti Awie menjadi ‘jantan tidak bertulang’.




RUSDI RAMLI

Awie ada alasannya yang tersendiri ketika menerima lamaran Teong Hin iaitu sebagai cabang dan tanggungjawab baru mempelbagaikan karakter dan watak yang diingini pengarah dan penerbit sesebuah produksi.

“Saya tidak melihat itu sebagai trend sebaliknya ia sebagai cabang untuk mempelbagaikan lagi watak yang diberi. Teong Hin sendiri panik apabila saya menyatakan persetujuan. Begitu juga dengan Tayangan Unggul. Sebagai pelakon ditawarkan memeran pelbagai watak adalah satu cabaran dan penghormatan.

“Tidak wujud istilah untuk membataskan proses mempelbagaikan watak. Sebagai pelakon, saya enggan statik untuk terus memegang watak yang klise,” jelas Awie.

Ditebak dengan soalan apakah benar Awie bersama tiga rakan baiknya iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal dan Hans Isaac, bakal muncul dengan filem yang berkisar kehidupan golongan lelaki lembut, Awie mengakui ada mencadangkan perkara itu. Filem itu dikatakan diinspirasikan dari filem To Wong Foo lakonan Patrick Swayze dan Wesley Snipes yang mengutarakan kisah draq queen. “Kami ada berbincang mengenainya. Idea itu sudah lama juga diutarakan cuma masih belum mendapat kata putus. Kalau melihat filem To Wong Foo itu sendiri ia mengangkat kisah hidup draq queen. Kita boleh mengadaptasi cerita sebegitu sebagai usaha memecah tradisi dalam arena perfileman. Fokusnya bukan untuk menceritakan kisah lelaki lembut semata-mata sebaliknya kita boleh perbaiki lagi watak dan menyampaikan mesej daripada sisi lain,” kata Awie yang sudah pun muncul memeran watak utama sebagai Hafiz di dalam filem Cinta U-Turn bergandingan dengan Fasha Sandha.




JALALUDDIN


Apa yang dilakukan suami kepada Rozana Misbun sekarang ini semuanya kerana tanggungjawabnya sebagai pelakon. Isterinya memberi maklum balas positif terhadap peranan lelaki lembut yang dipegang Awie dalam filem Apa Kata Hati.

“Dia (Rozana) okey. Dia tahu apa yang saya lakukan dalam filem hanya lakonan semata-mata. Itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelakon, suami dan bapa. Saya ada tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah kerjaya lakonan saya semakin berkembang berkat doa isteri dan anak,” ungkapnya.

Jika selama ini mereka (Awie, AC, Hans dan Afdlin) dikenali sebagai lelaki tegap dan sasa di dalam filem, Insya-Allah tak lama lagi kalau berjaya direalisasikan filem itu, pastinya mereka akan tampil dengan sifat feminin. Awie mungkin tidak berdepan dengan masalah apatah lagi dalam filem Apa Kata Hati pun dia sudah ada pengalaman menjadi lelaki lembut.


DIPETIK DARI SUMBER:
http://www.myselebriti.com/category/Afdlin-Shauki/
Powered by Berita Harian

No comments: