Sunday, May 11, 2008

IRAN, HOLLYWOOD, MALAYSIA DAN .....

Iran adalah sebuah negara yang mengenakan peraturan ketat terhadap pembikinan filem. Karyawan filem bergerak dalam lingkungan kebebasan kreatif yang kecil dan tidak toleran dengan budaya Hollywood. Antara peraturan yang mesti dipatuhi ialah pelakon wanita Iran tidak dibenarkan mendedahkan kepala sekalipun untuk adegan dalam rumah bersama ahli keluarga. Melihat peraturan ini, tentunya banyak membayangkan tentang nilai moral yang sarat dalam filem-filem itu. Tambahan pula datang dari sebuah negara Islam. Filem-filem Iran sudah tentunya dilambakkan dengan dialog-dialog nasihat yang berjela-jela. Tetapi yang berlaku dalam filem Iran adalah sebaliknya. Sekalipun peraturan pembikinan begitu ketat tetapi pendekatan filem Iran sebagai karya kreatif adalah kebebasan mentafsir nilai-nilai baik untuk disampaikan kepada khalayak. Filem Leila arahan Dariush Mehrjui yang disiarkan di Astro misalnya memaparkan persepsi wanita terhadap poligami. Filem ini tidak berceramah tentang poligami tetapi memaparkan perasaan setiap wanita apabila kasih sayang suaminya terbelah dua. Kenapa Leila dari sebuah negara Islam tidak memilih untuk mendidik? Tetapi memaparkan dalam belenggu budaya yang seketat mana sekalipun, perasaan manusia tetap sama. Begitu juga dengan filem Children of Heaven arahan Majid Majidi. Ia bercerita tentang kanak-kanak yang kehilangan sepasang kasut. Kanak-kanak itu berusaha mencari semula kasut itu kerana dia tahu kemiskinan keluarganya untuk mendapat kasut yang baru. Khalayak penonton tempatan selalu diingatkan bahawa sesebuah filem yang baik adalah yang membawa mesej nasihat. Filem yang baik juga wajar menyeru ke arah kebaikan atau setidak-tidak ada poetic justice di mana kebenaran akan berakhir dengan kemenangan. Macam cerita Tuah dan Jebat atau Si Tenggang dengan ibunya. Ini antara kerangka pemikiran yang ditanamkan sejak lama kepada penonton. Mereka diasuh supaya melihat dan menggunakan filem sebagai alat mengasuh serta mendidik manusia. Kalau melihat dalam konteks mesej filem kita, kedua-dua filem Iran tadi tentunya tidak membawa mesej dan jauh sekali mendidik penonton supaya jangan buat itu dan ini. Di negara ini khalayak dikejutkan dengan kewujudan filem yang membawa tema Islam, Syukur 21. Filem ini bersandar kepada populariti dan pengaruh kumpulan nasyid Raihan. Kalau dibandingkan dengan dua filem Iran tadi, Syukur 21 lebih banyak menasihat watak-watak (menasihat penonton sebenarnya) tentang baik buruk sesuatu perbuatan. Di sini timbul persoalan apakah sebenarnya yang wajar dilakukan oleh sesebuah filem untuk menyeru manusia ke arah kebaikan? Menasihat dengan dialog-dialog atau memberikan ruang untuk penonton sendiri mencari pengertian daripadanya? Adakah kerana wujudnya Raihan maka Syukur 21 harus memilih membawa nasihat atau sememangnya khalayak memerlukan nasihat seperti ini? Bagi sesetengah daripada kita, filem-filem yang mempunyai poetic justice sering menjadi pilihan termasuk di stesen-stesen TV. Malah disebabkan acuan supaya filem menjadi begitu bermoral dan bermesej hingga terlupa kerangka-kerangka kreatif yang perlu membangunkan sebuah karya filem. Benarkah filem mampu menjadi medium mendidik manusia? Sejauh nama pula kebenarannya orang bersedia untuk dididik oleh filem? Dalam suasana masyarakat yang jarang memberikan apresiasi yang tinggi terhadap golongan karyawan, apakah pada masa yang sama mereka bersedia untuk dididik di pawagam? Di sini harus ada perbezaan antara sesebuah karya filem yang mampu mempengaruhi khalayak dengan menjadikan filem sebagai medium mendidik. Dalam filem yang penting ialah kemampuan mempengaruhi, menghamparkan hujah-hujah dan idelogi kepada khalayak. Ini kerana menikmati ''pengajaran'' daripada filem tidak sama dengan mengikuti kelas sivik. Khalayak kelas sivik tentunya tidak perlu menggerakkan pemikiran untuk mencari sesuatu selain kesan baik atau buruk. Dalam kelas sivik kita hanya mengunyah apa saja yang diberi tanpa banyak soal. Bagi penonton daripada kelompok ini, mereka barangkali sesuai dengan Syukur 21 kerana tidak perlu mengambil sedikit waktu untuk menelaah hujah-hujahnya. Mesej Syukur 21 amat jelas. Nasihatnya juga jelas. Tetapi persoalan utama yang perlu ditanya ialah apakah filem sudah hilang peranannya sebagai sebuah karya? Filem adalah filem. Sama juga wanita adalah wanita seperti dalam Leila. Mesej, nasihat atau apa saja yang membawa maksud yang sama tidak semudah membaca papan tanda ''Kelajuan 110 kilometer/sejam'' di lebuhraya. Mesej dalam filem harus berada dalam pengertian yang berbeza.

Penulis : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my) Sumber : Utusan Online 16/1/2001

No comments: